Thursday, November 7, 2013

Guru Oh Cikgu



Assalamualaikum

Kenapa aku nak jadi cikgu? Dulu semasa di sekolah rendah, cita-cita aku nak jadi cikgu. Kenapa? Sebab nampak best je bila cikgu menanda buku dengan pen merah,hehe....Bila dah sekolah menengah, cita-cita tu semakin pudar. Aku tak tahu nak jadi apa. Aku susah hati bila cikgu tanya aku nak jadi apa. Memang aku boleh dikategorikan sebagai murid yang agak cemerlang di sekolah berdasarkan keputusan peperiksaan. Tapi kalau berdasarkan penglibatan dalam kelas dan sekolah, aku gagal. Aku bukan jenis suka menonjolkan diri. Aku pun selekeh je kat sekolah, dengan tudung yang sentiasa muncung tak berlipat,hehe....Falsafah aku masa tu, BIAR SELEKEH ASALKAN OTAK GELIGA..
Habis sekolah menengah, aku ke matrikulasi. Aku rasa aku yang paling selekeh kot kat matrik tu. Jenis yang tak pandai bergaya. Baju ke kuliah pun asyik2 baju yang sama,haha...Tapi masa tu aku tak kisah pun. Nampak sangat kematangan untuk menjadi lebih feminin tu tak datang lagi dalam diri aku. Habis matrik, aku perlu isi borang UPU. Ah, aku tak tahu nak pilih course apa. Aku minat dengan makanan, maths. Niat dihati nak mintak dietetik atau maths. Tapi ayah macam tak suka. Aku jadi tak puas hati. Tapi tak terluah pun, hanya pendam dalam hati. Ayah suruh aku apply cikgu. So aku ambil jalan tengah. Apply Pendidikan Matematik di UPSI sebagai pilihan pertama. Hati aku puas, aku masih ikut cakap ayah. Tapi apa boleh buat, rezeki aku pada pilhan kedua, Matematik Tulen di USM. 
Habis universiti, ayah masih nak aku jadi cikgu. Aku pun apply guru sandaran, GSTT. Aku pun tak nak banyak bunyi dengan ayah, takut wei kalau sampai ayah kecik hati.Tapi tak ada rezeki jugak, aku hanya dapat jadi guru ganti. Dapat pengalaman mengajar di dua buah sekolah menengah. Then, aku apply KPLI. Tiga kali apply baru tersangkut. Nun di Sabah. Gundah gulana hati ni. Tapi dah rezeki di sana, aku terbang ke Sabah. Jakun jugak la kali pertama naik flight, tak tahu macam mana nk pakai seat belt,hehe.
Sekarang aku dah betul2 jadi seorang guru. Ayah gembira, mak seronok, aku pun suka. Suka mengajar. Tapi sejak akhir2 ni, banyak betul insan2 bukan guru yang mengutuk, mempertikai tugas guru. Katanya cikgu malas, tak buat kerja, kerja cikgu senang, macam2 lagi. Kadang2 aku panas hati, sampai aku malas nk baca dan dengar semua tu.
Apabila ada mengatakan cikgu malas dan tak buat, aku nak tanya la kan. Bukankah orang malas tu ada di merata-rata tempat? Tak adil la kalau nak kata cikgu je malas. Tapi ada tak nampak cikgu rajin? Mesti ada kan. Kenapa asyik nampak yang negatif saja sedangkan peratusan negatif tu sangat la sikit. Kalau cikgu ni malas sangat, semua murid tak akan pandai menulis membaca. Semua buku kerja murid cikgu tak kan semak. Tu baru dikatakan malas.
Kerja cikgu senang?Aku nak beritahu, bukan senang nak ajar murid membaca, mengira, menulis dengan betul. Murid ni pulak ada macam2 perangai. Ada yang di rumah dia sangat baik, tapi di sekolah......Ada yang cikgu kena bagi lebih perhatian. Ada yang cikgu terpaksa paksa dia untuk membaca dan buat kerja sebab murid tu tak minat nk belajar. Tu baru tugas hakiki seorang guru. Belum lagi masuk tugas2 lain yang hanya guru sahaja tahu. Malam2 sampai ke pagi terpaksa buat OT. Kalau bujang macam aku, tak pe la. Kalau ada anak kecik, suami? Orang2 kat luar yang sibuk menghentam guru tu tak tahu benda2 ni kan, tak tahu pasal OT ni. Apa yang anda2 tahu, mencari salah cikgu. Kalau nampak cikgu banyak sangat salah, apa kata tukarkan je anak2 anda ke sekolah lain. Atau pun ajar je anak kat rumah sendiri, tak payah hantar ke sekolah. Tu pun kalau anda2 ada masa yang banyak dan tak keluar bekerja. Jangan lupa, cikgu2 pun ada anak. Kadang2 anak sendiri terabai, sebab sibuk sangat kat sekolah nk ajar anak orang lain.
Cukup2 la mengata dan menghemtam guru. Cuba sentiasa muhasabah diri. Anda2 pun tak kan tahu membaca, menulis, kerja dengan gaji yang besar sekarang tanpa jasa daripada seorang guru. Aku bukan minta jasa2 guru ni disebut2, di ingat2 sangat. Tapi cukup2 la mengkritik guru. Biarkan guru dengan tugas guru, anda dengan tugas anda, Tak salah melahirkan rasa yang tak puas hati atau cadangan yang membina, tetapi biarlah beradab dan berakhlak. Bahasa melambangkan bangsa. Apa yang terluah dari bibir anda, itulah warna hati2 anda.
Lastly, enjoy this song..!



Saturday, November 2, 2013

Amalan kita



Assalamualaikum

Tetiba malam ni rasa nk ber'retro' pulak..hehe...Teringat lagu 'Insan'..Aku tak tahu penyanyi nya siapa. Tapi bila tanya MR.GOOGLE yang arif, penyanyinya Yantzen....
Aku suka lirik lagu ni... Menyedarkan kita bahawa manusia ni sama..Yang membezakan kita adalah amalan dan ketakwaan kita...Tiada istilah kaya miskin, orang atas atau orang bawah....Kaya ke miskin ke, kita berada di atas ke di bawah ke, akhirnya keluasan kubur kita sama jugak, berkain kafan jugak kita...Akhirnya kita akan bertemu Yang Maha Esa membawa amalan2 kita di dunia......

INSAN


Kita adalah insan
Menumpang atas dunia
Aku dengan caraku
Yang sederhana

Kita adalah hamba
Berbakti pada Yang Esa
Aku mencari sinar
Keredhaannya

Kita sama sahaja
Bezanya cuma amalan kita
Engkau dan juga aku
Saling perlukan

Oh cinta yang murni
Sebagai ikatan
Yang kukuh di hati
Demi masa depan
Jangan dihancurkan
Hidup yang indah ini
Akibatnya merana

Jangan hancurkan
Hidup yang indah
Kita adalah hamba Yang Esa

                                                    super cute pictures

**lyric and image from google.com

Monday, October 28, 2013

Kerja oh kerja



Assalamualaikum

Kerja dan manusia....Dua perkara yang tak boleh dipisahkan...Selagi mata ni tak tertutup rapat, selagi tu la kita kena bekerja kan...Ada sesetengah orang, tengah tidur pun dia bekerja. Mengigau..hehe

Sesi persekolahan dah nak sampai ke penghujungnya. Terasa bebanan kerja, kerja-kerja yang perlu di bereskan sebelum bercuti panjang. Panjang ke?? Bolehla daripada tak ade.
Disebabkan ada kerja-kerja yang perlu dibereskan, automaticly, otak aku dah rasa berserabut. Kepala rasa semak. Kerja apa yang buat otak aku rasa berserabut tu? Meh nk senaraikan..

1. Laporan perkhemahan unit beruniform
2. Kertas exam yang belum marking. #Ada 2 kelas lagi. Alahai, nk muntah rasa.
3. Buku program untuk Hari Graduasi. #Tak ada idea nk design
4. Keputusan Literasi Bahasa Inggeris belum start 'key-in'
5. Band dan evidence untuk pelajar belum update
6. Fail penyelaras English tahun 1 belum 'complete'
7. Training pelajar untuk action song
8. Laporan kursus #Dh hujung2 tahun ni la baru nk mintak

Eh, lapan je....Hmm, rasa macam tak berapa banyak...Tapi otak n kepalaku rasa berserabut.


                                                         

Thursday, October 10, 2013

Makanan Jiwaku



Assalamualaikum
Sejak petang semalam, jiwa aku terasa kosong. Bila cuba2 muhasabah diri, mungkin kerana jiwa ni dah kelaparan, kehausan. Jadi, ia perlu disuap dengan makanan dan minuman. 
Aku cuba berfikir, apa aku nak buat ye. So, cuba switch on TV, astro oasis, TVAlhijrah. Cuba tonton dan digest apa yang ditayangkan di situ. Masih terasa kosong. Mungkin sebab dah biasa tengok, dah imun. Kena cari santapan 'live' kot.
Kebetulan seorang cikgu sesi pagi minta aku tukar sesi dengan dia. Dia ke sesi petang, aku ke sesi pagi, untuk hari Khamis je. Mungkin dia ada hal, aku pun tak tanya banyak, setuju je. Lepas tu terasa macam malas je,hehe.... Tapi bila fikir2 balik, ah mungkin ada hikmahnya.
Nak jadi cerita, memang hari ni aku ke sesi pagi. Nak jadi cerita lagi, pelajar tahun 6 ada Program Reset Minda. Aku pun tak tahu apa agenda program. Aku masuk dalam dewan pun dah separuh program tu berjalan, tapi masih sempat dengar. Ustaz yang jadi penceramah. Ustaz sekolah aku jugak la, bukan ustaz jemputan dari luar. Antara isi yang disampaikan adalah tentang isu2 semasa. Isu Syiah, pergolakan di Syria, isu2 remaja. Ada jugak ustaz tayangkan video2. Terkesan jugak la di hati ni, walaupun aku bukan pelajar tahun 6, hehe..
Terasa jiwa ni seperti terisi kembali. Inilah hikmahnya aku ke sesi pagi hari ni. Alhamdulillah...Tak rugi aku setuju tukar waktu mengajar dengan cikgu tu walaupun mula2 hati terasa berat. Syukran ya ustaz atas pengisiannya....


Ustaz tengah bagi ceramah
Tekun betul pelajar lelaki dengar :)

Monday, October 7, 2013

Konvoi oh konvoi



Assalamualaikum

Aku pasti, ramai yang tau apa maksud konvoi tu kan. Seiring sejalan la, lebih kurang macam tu maksudnya. Siapa yang lambat kita tunggu. Siapa yang rasa dia tercepat, cuba2 la perlahankan kenderaan tu.
Aku cuma nak ceritakan pengalaman2 konvoi aku. Pengalaman pahit ye, bukan manis2. 

1. Rombongan meminang ke Kuala Kangsar. Aku sorang je perempuan yang bawa kereta. Yang lain lelaki. Kereta aku di tengah. Berdesup-desup kereta pemandu lelaki. No choice, aku pun kena berdesup jugak, takut hilang. Dah la aku tak tahu jalan. Akibat dari desupan itu, AKU KENA SAMAN di highway. Bukan aku je, semua kereta yang ikot rombongan kena saman. Fuh, melayang duit aku, RM150. Hmmm, nak cakap apa lagi kan. Bayo je la.......

2. Rombongan nak ziarah orang meninggal di Sikh, Kedah. Macam sebelumnya, aku je perempuan yang bawa kereta. Yang lain ada suami ye, harap maklum. Aku memang tau, sepupu2 aku ni semua juara lumba kereta. Aku pesan 'JANGAN LAJU2, TAK TAHU JALAN NI'...Dorang kata ok. Rupa-rupanya ok la sangat, berdesup-desup kereta dorang. Aku dah serik kena saman, melayang duit aku. So aku dah tak nak ikut desupan dorang tu. Aku biar je dorang laju. Biarlah aku sampai lambat pun, aku tak kisah. Lagipun aku bawa mak ayah dalam kereta. Insan-insan yang aku sayang, aku kena jaga. 

3. Rombongan cikgu-cikgu sekolah ke Summit-USJ, nak main bowling. Aku memang tak tau tempat tu kat mana. So terpaksa konvoi dengan cikgu-cikgu lelaki yang lain. Aku n Kak Noriah je pemandu perempuan. Ada jugak cikgu perempuan yang bawa kereta, tapi dorang pergi dulu, sebab tau jalan. Cikgu perempuan yang lain pergi dengan husband masing-masing. Oleh kerana aku dh memang ada pengalaman berkonvoi dengan lelaki ni, aku kena ambil langkah berjaga-jaga, kena cari alternatif lain. Mujur kereta aku ada GPS, Alhamdulillah. So, dari sekolah aku dah mula On GPS. Seperti yang aku duga, aku dgn Kak Noriah memang kehilangan kereta 2 lelaki di depan. Aku ok je, sebab dah standby GPS. Teringat Kak Noriah yang tak tau jalan menuju ke Summit, aku pun pintas kereta Kak Noriah dan hon dia. Isyarat minta dia ikut aku. Aku pun tak pasti sama ada yang lain tu tau tak apa maksud konvoi. Ke bagi dorang konvoi tu drift? Lumba siapa sampai dulu. Apa-apa pun, aku akhirnya selamat sampai ke Summit-USJ, Alhamdulillah....

Friday, September 20, 2013

Guru dan Stress



Assalamualaikum
Guru dan stress.........
Aku rasa dua perkara ni mula singgah dalam hidup aku sejak kebelakangan ni. Alahai, aku muda lagi (konon,hihi)....Aku ingat ke aku sorang je yang rasa. Rupanya rakan-rakan sekerja yang lain pun sama. Beberapa hari lepas, selepas habis kelas aku berbual dengan seorang cikgu India. Dia mengadu 'I stress U know'....Aku ketawa. Bukan aku ketawakan dia, tapi aku ketawa sebab aku pun tengah stress. So aku tanya dia, 'dah berapa lama U mengajar?'....Dia jawab '18 years'....Aku dah senyum-senyum sebab aku yang baru nk masuk 2 tahun ni dah mula stress, apatah lagi dia yang dah mengajar selama 18 tahun. Aku tanya lagi, 'sejak bila U mula rasa stress?'...Dia kata sejak 5 tahun lepas....Nah, there must be something wrong with our education system. Hmmm...aku tak nak komen lebih-lebih pasal sistem pendidikan kita. Yang berada di sekolah je faham. Yang berada di luar sekolah tak kan faham.
Aku cuma nak kongsikan kesan bila cikgu cikgi mula rasa stress, iaitu aku...hehehe....Bila aku mula stress, semua benda nampak tak betul. Jenuh aku cuba sabarkan hati, bermonolog sendirian, 'Nadiah, sabar. Hang tengah tension tu. Jangan lepaskan pada orang yang tak sepatutnya'....Huhuhu..Aku kesian dengan diri aku :-).....Then, aku semakin ok. Tapi bila masuk kelas, dapat pulak budak yang kerjanya bercakap tak pandai berhenti, aduh, kesabaranku diuji!!!...Istighfar banyak, sentiasa ingat. Tu budak-budak. Budak memang perangai macam tu. After that, kutip buku pulak. Istighfar lagi, budak hantar buku dengan keadaan kerja yang tak siap. Apalagi, volume suara aku dah mengilai-ngilai macam pontianak (cikgu lelaki tak de volume suara macam ni ye). Jenuh la budak-budak ni tahan telinga. Tapi sebenarnya aku bukan marah sangat pun. Saja nak gertak budak-budak ni. Bukan apa, aku risau. Kalau budak-budak ni berterusan perangai macam ni, dorang nk jadi apa nanti. Ni namanya 'marah-marah sayang'...hehehe...Ni baru kesan-kesan minor stress. Aku pernah dengar kes cikgu yang stress sampai menyebabkan lumpuh. Oh, aku tak nak jadi macam tu. 
Sebenarnya, bukan aktiviti mengajar yang menyebabkan cikgu cikgi stress. Kalau mengajar je, semua cikgu lakukan dengan rela hati. Sebab ni memang tugas seorang guru. Dah la, aku pun tak nak bongkarkan apa tugas-tugas pelik yang cikgu cikgi kena buat. Walaupun kadangkala aku sakit hati bila dengar orang cakap, 'kerja cikgu senang'....Ye la 'senang' sangat....Kena ingat, tak ada kerja yang senang kat dunia ni. Kalau orang kata kerja makan, tidur tu senang, tak juga. Macam mana nk makan kalau tak ada selera, macam mana nak tidur kalau mata tak rasa mengantuk. Kesimpulannya, semua kerja ada susah senangnya. Jangan perlekehkan pekerjaan orang lain. 
Jadi cara nak hilangkan stress, jangan bawa balik buku-buku sekolah ke rumah ye, harap maklum. Buku sekolah tempatnya di sekolah, bukan di rumah. Hari minggu pun jangan buat kerja sekolah ye, digalakkan keluar bershoping atau cuci-cuci mata.***peace**

Tuesday, September 3, 2013

Orang Baru



Assalamualaikum

Alhamdulillah, bertambah lagi ahli keluarga aku. Kakak aku telah selamat melahirkan seorang baby perempuan, pada pagi 30 Ogos 2013. Perasaan aku? Mestilah gembira. Tak percaya pun ada. Anak buah pertama tu. Kakak aku dah ada anak??..Hehe.. Rasa macam tak percaya. Masih ingat kenangan masa kecik-kecik dengan kakak aku. And now, kakak aku dah ada junior, Aisya. Ayah dan mak aku pun macam tak percaya dah ada cucu, haha...kelakar kan. Nampak sangat mak ayah aku sayang betul dengan Aisya. Asyik menyebut je kat rumah masa Aisya masih kat hospital. Now, Aisya dah boleh balik rumah. Teringat masa kat hospital, adik bongsu aku, Dikna pegang-pegang pipi si Aisya. Terus ayah larang, ayah kata 'jangan buat macam tu, nanti dia tak lalu (tak selera) makan'..hehe..See, Dikna pun kena tegur dengan ayah...hahaha 

Aisya

Wednesday, July 31, 2013

Ramadhan ini



Assalamualaikum
Ramadhan tahun ini hampir meninggalkan kita. Entah kenapa, terasa serba kekurangan pada ramadhan tahun ini. Adakah kerana ibadah ku yang semakin berkurang? Ya, mungkin juga. Kurangnya input aku pada tahun ini. Kadang-kadang terasa tidak layak untuk menyambut Aidilfitri. Terasa hambar. Bukan kah aidilfitri adalah hari kemenangan untuk mereka yang berpuasa? Di akhir-akhir ramadhan, saki baki yang ada ni, aku cuba paksakan diri menambah input-input tersebut. Cuba sedaya upaya, bermuhasabah diri kembali. Mengenang segala dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan. Hmmm, banyaknya dosa dan kesalahan akibat kalah dengan hasutan di dalam diri. Mencuba berjanji pada diri ini, aku tak nak ulangi kesalahan yang sama lagi. Namun, kadang-kadang aku terbabas. Dan sekali lagi, penyesalan tu datang lagi. 
Satu saja harapan aku. Moga aku dapat bertemu lagi dengan ramadhan tahun hadapan.......InsyaAllah...

                                               

Monday, July 29, 2013

Diari = Rahsia hati



Assalamualaikum
Tiba-tiba petang ni rasa nak berjiwang sikit..hehe..Nak kongsikan pengalaman sendiri tentang 'diari'.
Diari? Aku pasti semua orang ada benda yang bernama 'diari' tu kan..Aku pun PERNAH ada. Bagi aku diari adalah tempat untuk aku luahkan semua yang terbuku dalam hati aku, yang hanya Allah saja yang tahu. Tapi, tu dulu. Sekarang aku lebih selesa simpan di dalam hati je. Segala yang aku rasa hanya aku simpan dalam hati. Kenapa aku jadi macam ni? Sebab diari aku pernah jatuh ke tangan orang lain. Yang membuatkan aku rasa sangat marah, tahap kemarahan tu hanya Allah saja yang tahu. Sejak hari tu, perkataan 'diari' dah lenyap dalam hidup aku. Perasaan percaya pada orang lain juga dah semakin luntur. Memang perasaan tu dah lama luntur, sejak aku berumur 9 tahun. Tapi, bila jadi peristiwa tu (diari aku dibaca oleh orang lain), perasaan percaya pada orang lain menjadi semakin nipis, nipis senipis nipisnya. Sampai sekarang aku sangat sukar nk percaya pada orang lain. Di tambah pula dengan peristiwa hujung tahun lepas (jangan ditanya peristiwa apa ya), aku menjadi semakin sukar percaya pada orang lain, sampai saat ini. Entah mengapa aku jadi macam ni. Mungkin aku jenis yang cepat serik, sekali terjadi, aku ingat sampai mati. Ini menjadikan aku seorang yang sangat protective pada diri sendiri. Kadang-kadang aku penat dengan perangai aku yang satu ni. Menjadikan aku sukar untuk bekerja secara berkumpulan. Susah untuk aku bina kepercayaan pada orang lain menyebabkan banyak tugas terbeban di bahu sendiri....

Friday, July 12, 2013

Menang Lagi...



Assalamualaikum
Petang semalam, di parking kereta, guru kebersihan beritahu aku
'Kelas Nadiah menang lagi kelas terbersih tau. Hadiah akak tak sempat nk bagi, kan hari Isnin hari tu kita tak ada perhimpunan. Kalau Nadiah nk gantung hadiah tu, nanti ambil kat tempat akak ye'...
Aku gembira mendengar berita tu. Dah dua kali sepanjang semester 2 persekolahan ni kelas aku menang untuk kelas terbersih. Aku bangga dengan anak-anak murid aku yang sentiasa rajin membersihkan kelas, walaupun dorang baru tahun 1. Semasa kali pertama menang untuk semester ni, cikgu-cikgu yang lain memuji murid-murid aku. Kata dorang walaupun baru Tahun 1, tapi pandai jaga kebersihan kelas berbanding tahun 3. Aku tersenyum, dalam hati merasa cukup bersyukur di berikan anak-anak sebegitu. Untuk kemenangan yang pertama, aku belanja dorang. Bukan belanja yang mahal-mahal pun. Aku cuma belikan coklat 'Cloud 9' sorang satu. Aku explain pada dorang, cikgu belanja coklat sebab awak rajin bersihkan kelas. Terpancar rasa gembira dari wajah dorang. 
Aku dapat agak, kalau aku masuk kelas petang nanti, dan aku beritahu anak-anak muridku bahawa dorang menang lagi untuk minggu lepas, mesti budak-budak tu seronok. Tapi tak dapat la cikgu nak belanja coklat lagi, puasa kan sekarang.
Sebut pasal puasa, aku bangga dengan dorang sebab hampir kesemuanya berpuasa. Hari pertama puasa, dorang nampak sangat penat. Apa yang aku tanya, sangat susah dorang nak jawab, dahaga katanya. Aku pun bagi la 'tips' kat budak-budak tu, kalau tak nak dahaga jangan cakap banyak, jangan sembang..Hehehe...

Sunday, July 7, 2013

Masak memasak...



Assalamualaikum
Hmm...bila tengok entry sahabat2, Cik Mila n Cik Wani update pasal masak-memasak, aku pun teringin juga la nk buat entry yang sama..hihi...
Kat sini aku berani la update benda-benda macam ni, sebab kat sini orang tak kenal aku...hehe..Low profile la kunun2 nya...haha
Hari ni, oleh kerana teringin sangat nak makan sup, aku pun try la buat sendiri. Orang lain mungkin kata, 'alah, senang je masak sup'...Tapi aku memang tak reti. See, betapa cetek dan singkatnya ilmu masak-memasak aku..haha...Teringin punya pasal, aku buat la style aku. Sup sayur&telur + kanji (bubur nasi)..




Monday, July 1, 2013

Kerana kita manusia.....



Assalamualaikum
Alhamdulillah...jerebu sudah berakhir. Rasa macam dh lama tak menulis a.k.a menaip kat sini. Tak la busy sangat, tapi macam tak ada rasa nk blogging.
Hmm...Nak cerita sesuatu. Sesuatu yang membuatkan aku terfikir. Nampak berbeza, tapi hakikatnya tetap sama.
2 minggu lepas, lepas solat zohor dengan Kak Ann, kami berdua pun 'touch-up' la muka sikit-sikit (woman are always like that, rite?,haha). Kak Ann dengan sunblocknya, almaklumla minggu latihan sukan, minggu berjemur. Aku? Aku dengan bedak compact je la. Malas nk ber'block' bagai. Simple person la kunun2 nya aku ni..hihi....
Bedak compact aku tu dah separuh pecah sebenarnya. Rasa macam pernah terjatuh, itulah hasilnya. Nak beli baru, time tu belum gaji lagi. So, bertahan la dengan apa yg ada. Kak Ann ternampak bedak aku tu. Aku pun bersuara, "tengok la ni Kak, nk beli kena tunggu gaji dulu"..Aku memang 'slamber' sikit dengan Kak Ann,hehe.... Kak Ann membalas "Sama la dengan Kak Ann. Kadang-Kadang sampai kena gumpil2 bedak tu, hahaha. Kak Ann ni duit tu ada, tapi masa tu yang tak ada nk pergi beli". Hmm, terbalik pula dengan aku ni, masa banyak tapi fulusnya yang kurang. 
Aku jadi terfikir. Orang tu ada duit, tapi tak ada masa. Orang tu ada masa, tapi tak ada duit. Orang tu ada duit ada pasangan hidup, tapi belum ada rezeki anak. Orang tu ada anak ramai, tapi kadang-kadang rezeki ringgitnya kurang. Orang tu ada rupa, tapi akhlaknya kurang elok. Orang tu akhlaknya sangat elok, tapi rupanya biasa-biasa sahaja. Orang tu ayahnya bergaji besar, tapi jarang ada di rumah. Situasi-situasi tu nampak berbeza kan, tapi hakikatnya sama. Semua serba kekurangan. Kerana kita manusia, tiada yang sempurna....


*image from google

Sunday, June 23, 2013

Janji ditepati



Assalamualaikum


Seperti yang telah dijanjikan...
Buat tatapan sahabat yang berada nun jauh di Kuantan...hehe


Sunday, June 9, 2013

Saya dah besar...



Assalamualaikum

Memikirkan bahawa esok aku dh mula sekolah setelah bercuti sakan selama 2 minggu, tiba-tiba aku tersedar. Kenapa aku perlu ke sekolah esok? Aku ke sekolah untuk mencari rezeki untuk diri sendiri. Oh, aku dah besar rupanya, hihi..
Sekarang adalah masa untuk aku mencari duit sendiri. Dah tak boleh nk mintak kat ayah kalau tak ada duit. Sekarang adalah giliran aku pulak menghulur duit untuk mak dan ayah, walaupun mak dan ayah tak pernah minta. Atas rasa tanggungjawab sebagai anak, aku hulurkan jugak walaupun tak banyak.
Tiba-tiba aku mula nk mengimbas kenangan lalu..(cewah)..
Mula dari tadika aku mula belajar, walaupun hakikatnya aku mula belajar di rumah.
Kemudian aku melangkah ke alam sekolah rendah. Dari darjah 1 hingga aku darjah 6, aku belajar di sekolah yang sama, SK Toh Sajak. 
Kemudian aku melangkah pula ke alam sekolah menengah. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, aku bersekolah di SMK Dato' Kamaruddin.
Selesai tingkatan 5, aku melangkah kaki keluar dari daerah sendiri, aku ke KMPP. Dari Perak aku ke Penang. Homesick??? Ya ampunnnnnnnnnnnn, sangat teruk. Aku mengalami kejutan budaya. Bukan budaya sosial tau, tapi budaya belajar. Semua kuliah dalam Bahasa Inggeris. Mak ai, payahnya aku rasa!!..Tu antara kenangan pahit di KMPP.
Kemudian, aku melangkah ke alam universiti. Masih lagi di Penang, USM. Aku dapat kursus yang aku minta, Alhamdulillah. Walaupun pointer tak cemerlang sangat ketika zaman degree...hihi.
Habis alam universiti, aku menganggur sekejap (8 bulan tu sekejap ke,huhu). Kemudian dapat offer jadi guru ganti di sekolah menengah, 3 bulan.....Habis 3 bulan tu aku dapat lagi offer 'jawatan' yang sama di sekolah menengah yang lain. Alhamdulillah, rezeki aku tak putus-putus. 
Kemudian, aku dapat tawaran KPLI, nun jauh di Sabah. Ke Sabah pula aku terbang, menuju ke negeri di bawah bayu. Hampir setahun aku di Sabah. Walaupun tak lama, tapi banyak suka duka yang aku berjaya kumpul sepanjang berada di sana. Pergaulan menjadi semakin bebas, maksud aku pergaulan antara kaum. Aku mula mengenali kawan2 dari suku kaum Dusun, Rungus dan Iban.
Selesai di Sabah, aku menunggu-nunggu pula ke negeri mana aku akan di 'campak' kan..Oh, ke Selangor pula aku. Negeri yang tak pernah terlintas dalam kepala ni, ke selatan pula aku....
Rupa-rupanya, hidup aku memang tak berpisah langsung dengan sekolah a.k.a tempat belajar, kan. Dari aku kecil, aku belajar di sekolah. Sekarang aku dah besar, aku masih di sekolah, untuk mengajar. 
Psssss...Jangan aku berumah tangga di sekolah sudah la ye....:p...Sekarang aku dah 26 years old...Saya dh besar...:)



Sunday, April 28, 2013

Wahai ibu ayah...sayangilah anakmu.....



Assalamualaikum

Kita selalu membaca, mendengar kisah tentang ibu bapa yang diabaikan oleh anak-anak. Apa sebabnya ya?...Hmmmm, salah siapa? Adakah salah anak-anak? Salah ibu yang mengandung? Salah bapa yang mendidik? Salah guru di sekolah? Salah persekitaran?

Tapi sedarkah wahai ibu bapa sekalian, adakalanya anak-anak mengabaikanmu kerana sikapmu sendiri. Anak-anak melihat, merasai apa yang ibu dan ayahnya lakukan. Namun begitu, tak dinafikan adakalanya ia terjadi bukan kerana salah didikan. Ada ibu bapa yang sudah memberi didikan yang secukupnya kepada anak-anak mereka. Tapi hasilnya.......sangat mengecewakan. Teringat perbualan dengan seorang murid aku, murid tahun 3, perempuan. Cukup lah aku kenalkan sebagai M.

Aku : Sekarang M tinggal dengan siapa?
M    : Dengan mak tiri dengan ayah....
Aku : Ada kakak? ada abang?
M    : tak ade...
Aku : Ada adik?
M    : Ada....makcik baru bersalin....ada 2 orang adik perempuan

Aku dapat simpulkan dia satu-satunya anak hasil perkongsian hidup ayah dan ibunya. Dan lagi 2 orang adik perempuan tu anak hasil perkongsian hidup ayah dan ibu tirinya.

Aku : Kenapa M tak tinggal dengan mak?
M    : Mak tak nak.
Aku : Mak nk kena kerja kot.    (cuba memberi pujukan positif)
M    : Hari isnin sampai jumaat tinggal dengan ayah. Hari cuti mak tak ambil
        pun walaupun ayah kasi (bagi).

Aku : Mak kena kerja overtime kot.
M    : Tak. Mak cuti.
Aku : Mak nak rehat kot. Penat mak kerja.
M    : (angkat bahu)
Aku : Hari tu masa M masuk menari Action Song kan mak datang tengok M  
        menari....(cuba memujuk)

M    : Mak terpaksa....Ayah kerja, tak dapat hantar
Aku : (senyum)

Sungguh, aku kasihan dengan dia. Memang nampak jelas di wajahnya, dia inginkan ibunya di sisi. Aku terfikir, betapa bertuahnya aku....dapat membesar di bawah satu bumbung dengan mak dan ayah......

Sunday, March 31, 2013

My Mak n Ayah



Assalamualaikum

Alhamdulillah...Baru sembuh daripada demam yang panjang. Demam yang paling lama yang pernah aku alami (kalau tak salah la). Bila dah sihat ni, teringat kerisauan mak ayah di kampung pada anak yang sorang ni (aku la tu). Bila teringat, baru terasa betapa beruntungnya ada mak dan ayah. Bila teringat, terasa bersyukurnya bila Allah kurniakan mak dan ayah kepada aku. Mungkin ini perasaan normal yang ada pada anak2. Tapi aku sebagai anak, tetap nk zahirkan penghargaan untuk mak dan ayah aku. 
Boleh dikatakan setiap hari mak telefon aku, bertanya khabar. Kalau 2-3 hari aku tak telefon mak, mak macam dah maklum, anak yang sorang ni dah tak ada kredit. Bila tak ada kredit, aku senyap-senyap je kat Klang ni, menguruskan diri sendiri. Tiba-tiba dapat 'share top-up' dari mak (RM5) dan ayah (RM5). Aku terharu.
Bila balik kampung, mak tengok badan aku yang makin susut (40kg je sekarang), mak mula 'membebel', hehe.... Aku tahu, mak risau. Mak kata "pindah balik sini la, Nadi. Kat sini mak ada boleh masak makan". 
Teringat waktu kakak aku sakit. Kami sekeluarga susah hati. Ada je yang  tak kena. Bila ayah tengok keadaan kakak, ayah kata lebih kurang macam ni "Kalau boleh sakit tu pindah ke ayah"....Masa kecik2 dulu, ayah selalu pesan, 'Ingat, kalau ayah tak ada nanti, anak2 ayah kena bergantung pada Allah ja'.... Ayah rasa tak ada seorang manusia pun yang boleh jaga anak2 ayah macam ayah jaga kami......
Aku bersyukur pada Allah, Allah menganugerahkan mak dan ayah pada kami adik-beradik.....


*image from Google..


Monday, March 4, 2013

Jam loceng...



Assalamualaikum

Dulu, zaman berada di universiti, aku selalu jadi 'jam loceng'. Apa maksudnya tu?...Aku selalu kejutkan 'roommates' bangun pagi. Tiba-tiba rindu saat-saat tu...:-).... Semasa di Sabah, aku masih buat kerja yang sama. Kenapa ya? Mungkin sebab aku jenis senang terjaga dari tidur. Bunyi je alarm kat handphone, terus terjaga. Kalau tiba-tiba aku tak terjaga, memang itu menjadi satu kepelikan,hehe....Seronoknya jadi 'jam loceng' ni. Tak percaya? Cuba la sendiri. Kepuasannya tiada tandingan apabila tugas berjaya dilaksanakan!!!..hehe.. Di kampung pun aku masih buat kerja yang sama. Mengejutkan adik bongsu bangun pagi. Agaknya kalau jadi 'jam loceng' ni dapat gaji, aku antara orang yang dapat gaji lebih kot..hehe.. Tapi sejak-sejak kerja ni, belajar hidup sendiri, di rumah sewa, aku dah tak buat kerja tu..Dah tak ada insan-insan yang perlukan khidmat aku di sini (cewah, ayat sedih,hihi)....


* image from Pakcik Google

Thursday, February 21, 2013

Mengadulah pada ALLAH...Dia Maha Mendengar



Assalamualaikum

Terjaga dari tidur yang sekejap, aku mula berfikir. Terasa bosan hidup ini, setiap hari melalui rutin yang sama. Selepas subuh aku buat persiapan untuk mengajar - siap kan 'lesson plan', buat 'homework' sikit2 sebelum mula kelas sbg persediaan. Mungkin bosan sebab aku sorang2 je kat rumah, 'housemates' mengajar waktu pagi. Aku terfikir, alangkah bagusnya kalau aku juga mengajar sesi pagi. Balik dari sekolah boleh buat aktiviti lain pada waktu petang. Tapi apabila mengenangkan kesesakan jalan pada waktu pagi, aku redha mengajar pada waktu petang. Tengah hari sampai petang aku berada di sekolah, cuba menggembirakan hati dengan tugas sebagai guru. Memang aku lebih seronok mengajar sekarang (tahun ini) berbanding dulu (tahun lepas). Petang hampir maghrib aku baru balik rumah. Malamnya memang aku tidur agak awal, penat. Kadang2 je tidur agak lambat. Setiap hari itu lah rutin aku, aku mula bosan...
Selepas dhuha, aku mengadu pada Allah. Tidak ada tempat yang lebih baik untuk mengadu selain pada Allah, kan. Aku mengadu bahawa aku bosan dengan hidup sekarang, setiap hari rutin yang sama, tak ada aktiviti lain. Niat aku cuma ingin mengadu, melepaskan beban yang ada dalam hati. Selepas aku mengadu, tiba2 'handphone' aku berbunyi, ada mesej masuk..

.." Assalam ..Ct..pe kaba..Jumaat ni ad usrh kite buat kt umh asmaniza.. So u bole la p trus dr sek.. U kn sek dkt situ kn...."

(Assalam...Siti...apa khabar..Jumaat ni ada usrah. kita buat di rumah asmaniza. So you boleh la pergi terus dari sekolah. you sekolah dekat situ kan...)

SubhanAllah...Maha Suci Allah.....
Aku baru mengadu pada Allah....Hanya dalam sekelip mata Allah berikan aktiviti baru pada aku...Alhamdulillah

Mengadulah pada Allah...Sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala permintaan kita.....Mohonlah dengan bersungguh2, sabar dan yakin....

*Usrah yang terhenti pada penghujung tahun  lepas kembali bermula..:)







Thursday, February 7, 2013

Oh my Imam!



Assalamualaikum

Antara realiti dan angan-angan. Aku tak tahu sejauh mana kehidupan berumah tangga. Sebab aku masih bujang trang tang-tang..hehe... Tapi video ini boleh dijadikan rujukan untuk memperbaiki dan mempersiapkan diri sebelum berubah status dari single menjadi double...:).... * Thumbs-up* 


Tuesday, January 8, 2013

Kalau dan Kalau...



Assalamualaikum



Dalam hidup ini, setiap kali kita ditimpa kesusahan, ditimpa masalah, ditimpa kesedihan, setiap kali tu juga mesti terdetik di dalam hati kita 'kalau la aku....'. Walaupun kita sedar, perkataan 'kalau' tu dapat membuka ruang kepada syaitan untuk menghembuskan bisikan-bisikan negatif kepada kita, tetapi kita masih memikirkan 'kalau' tu.......Betul tak?
Sepatutnya kita kena sedar, setiap dugaan yang datang akan dapat mendewasakan kita. Mungkin kesannya masih kabur, tetapi percayalah ianya berguna untuk masa depan kita. Sebab tu kita sering dengar orang-orang yang lebih tua cakap macam ni ' aku lebih dulu makan garam'......Tak ada satu perkara pun yang ALLAH jadikan tanpa sebab. 

" Tidak ada sesuatu perkara yang keluar dari diri kita, melainkan ada takdir ALLAH bersama di dalamnya"

Saturday, January 5, 2013

Jawapan yang Tulus...



Assalamualaikum
Minggu pertama persekolahan untuk tahun ini dah berakhir. Minggu hadapan dah masuk minggu kedua. Hari pertama persekolah merupakan pengalaman pertama aku melihat kerenah pelajar-pelajar tahun 1. Tahun lepas, aku tak sempat tengok, sebab pertengahan Januari baru aku ditempatkan ke sekolah.
Macam-macam kerenah yang aku tengok, ada yang menangis walaupun dah pernah masuk tadika, ada yang mejanya dalam kelas tapi kerusi di luar kelas, ada yang asyik2 tanya aku 'cikgu, lambat lagi ke nak balik', macam-macam....
Kemudian, masuk hari kedua dan ketiga bilangan pelajar yang menangis dah berkurang. Mungkin dah jumpa kawan baru, rasa seronok berada dalam kelas. Belang masing-masing pun dah mula nampak, hehe.... Aku dah mula 'spot' pelajar-pelajar yang tersangat 'baik' dalam kelas. Bukan apa, untuk kemudahan masa hadapan aku.
Sekarang, Program Transisi masih berjalan. Jadi aku belum mula mengajar Tahun 1. Masuk kelas, have fun sikit-sikit, bagi 'hand-out' untuk mereka buat. Ada jugak yang baik, rajin, cepat je siap. Ada yang seronok sangat dapat kawan baru, berbual sampai tak ingat dunia...Alahai, macam-macam.
Tapi kat sini aku nak kongsikan tentang perbualan aku dengan pelajar-pelajar ni. Ada juga perbualan cikgu-cikgu lain dengan pelajar-pelajar ni yang boleh mengundang ketawa aku.

Cerita 1 :Ada seorang pelajar lelaki, mintak izin dengan aku  untuk ke tandas. Tapi aku tak benarkan lagi sebab dah ada 2 orang pelajar yang pergi. Aku pun bagitahu dia 'Tunggu sekejap ye, dah ada 2 orang kawan kamu yang ke tandas'. Tau tak apa yang dia balas balik dekat aku 'cikgu, kat tandas tu kan ada banyak toilet'...OOppppsss,terdiam sebentar aku...hihi....Memang benar anak didik ku, memang banyak toilet....

Cerita 2 : Hari Jumaat, ada seorang pelajar lelaki tak pakai unifom sekolah. Dia pakai baju Melayu warna putih. Mungkin baju sekolah agama dia. Guru yang bertugas pun tahan dia dan tanya ' Abang, kenapa abang pakai baju ni?'....Dia jawab 'Semestinya la'....hehe, rasa nk ketawa guling-guling aku kat situ. Lain yang di tanya, lain yang di jawab dengan begitu yakin.

Itulah bentuk-bentuk jawapan yang diberikan oleh anak-anak yang hatinya masih suci dan bersih. Menjawab dan bertanya dengan berterus-terang tanpa ada apa-apa yang terselindung.....:)